Thursday, 31 March 2016

Membakar dan Membuang Abu Mayat Memadam Murka Allah swt

Di zaman Bani Israel dahulu terdapat seorang lelaki yang selalu berbuat maksiat namun selalu akan terkenang akan dosanya lalu bertaubat. Walau bagaimanpun beliau akan kembali untuk melakukan dosa tersebut dan akan kembali bertaubat hingga berkali kali.

Ketika hendak sampai ajalnya, beliau berwasiat kepada kesemuanya anaknya untuk membakar mayatnya dan abu dari mayat yang sudah hancur tersebut perlu dibuang ke tempat yang berjauhan antara satu sama lain. Maka setelah kematiannya, kesemua anak beliau telah melakukan apa yang disuruh oleh bapa mereka dengan melemparkan abu mayat tersebut ke dalam air, di pergunungan dan tempat yang amat jauh antara satu sama lain.
Ketika di akhirat kelak, Allah swt akan memanggil angin dan air untuk membawa dan menyatukan kembali abu mayat lelaki tersebut, maka dengan kehendak Allah swt bercamtumlah seperti sedia kala akan jasad lelaki ini, terkejutlah lelaki tersebut setelah beliau dihidupkan, ketika itu Allah swt yang maha mengetahui berfirman kepada lelaki tersebut “Wahai hambaKu mengapakah engkau membakar mayatmu dan membuang abu mayat secara berjauhan” lalu dijawab oleh lelaki tersebut “Wahai Tuhanku, aku seorang yang berdosa ya Allah, dosaku banyak dan maksiatku tidak berhenti dan aku takut akan azab Kau ya Allah, jadi aku berbuat begitu supaya Engkau tidak berjaya menghimpunkan jasadku dan menghidupkan aku semula ya Allah, maka aku akan selamat akan azab Engkau ya Allah”
Mendengar akan penjelasan lelaki tersebut, Allah swt ketawa lalu berfirman “dengan sebab engkau mempunyai rasa takut kepadaKu walaupun kau berbuat dosa, maka Aku ampunkan engkau dan masuklah ke dalam syurgaKu”. (Riwayat Sahih Muslim) Ceramah Ustaz Nazmi Karim-Kuliyah Kitab Riyadhus Salihin (Bab Taubat Hadith 19)
Daripada kisah ini dapat kita rumuskan antaranya
1.    Keampunan Allah swt itu melebihi kemurkaannya, walaupun kita bermaksiat dan sering melakukan dosa selalulah bertaubat kerana setiap manusia tidak lepas dari melakukan dosa.
2.    Allah swt amat mengetahui apa yang berada di dalam hati kita atau  sesuatu yang kita sembunyikan umpama adanya seekor semut yang kecil di atas batu hitam dimalam yang gelap ketika hujan lebat.
3.    Sekalipun jasad kita telah hancur dan dibawa agin dan air ke tempat yang jauh, Allah swt tetap berkuasa menghidupkan kita kembali untuk menerima balasan atas perbuatan di dunia.

4.    Setiap manusia itu dimasukkan ke dalam syurga atas rahmat Allah swt bahkan Rasulullah saw sekalipun, tetapi neraka Allah itu adalah kerana ingkarnya kita terhadapNya, bahkan Allah swt tidak sesekali akan menzalimi hambaNya.

No comments:

Post a Comment