Islam
itu tinggi dan tiada apa yang lebih tinggi melainkan Islam dan sesungguhnya
Muhammad itu adalah nabi yang Ummi (buta huruf) tertulis namanya, sifatnya,
keadaannya, rupanya di dalam kitab Taurat dan Injil. Rasul ini menyeru kepada
kebaikan dan mencegah kemungkaran, menghalalkan perkara yang baik dan
mengharamkan perkara yang buruk dan meringankan atau mengugurkan hukum hakam yang diberatkan kepada umat
terdahulu. Contohnya; Dizaman Bani Israel diharamkan mengambil harta rampasan
perang dimana akan datang api daripada langit yang akan menyambar harta
rampasan perang tersebut.
Sesiapa
yang beriman dengan Nabi ini, menguatkan, membantu dan mengikuti cahaya yang
diturunkan bersamanya itulah orang orang yang berjaya, iaitu sesiapa yang
meneruskan perjuangan dalam menegakkan syiar Islam, Allah swt berjanji mereka
adalah golongan yang sentiasa berada dalam kemenangan dan pengakhiran yang baik
adalah milik orang orang yang bertakwa.
Kisah
ini diriwayatkan oleh Al Hisyam bin Al Ash Humawi "Kami diutuskan untuk
bertemu dengan Raja Rome iaitu Hercules untuk menyeru beliau kepada Islam, kami
keluar daripada Madinah dari Ghouta Dimashq sehingga kami sampai di kawasan
perkampungan di Damsyik Syria. Lalu kami singgah di sebuah tempat yang dikuasai
oleh seseorang yang bernama Jaballah Hai’am bin Ghasani yang merupakan antara ketua
yang berada di di bawah taklukan kerajaan Rome di Mesir”.
Ketika
para sahabat sampai disana Gabenor Syam iaitu Jaballah Hai’am bin Ghasani
sedang duduk di singgahsana memakai pakaian yang berwarna hitam, apabila beliau
nampak para sahabat, beliau tidak membenarkan mereka masuk dan menghantar
seorang wakil untuk menjadi jurucakap. Lalu para sahabat berkata kepada kepada
wakil tersebut “Demi Allah, sesungguhnya kami tidak perlu menggunakan wakil
kerana kami diutus untuk bertemu dengan raja, bukan dengan wakil raja, kalau
kami diizinkan berjumpa dengan raja, kami akan bercakap sendiri dengan raja”. Kembalilah
semula wakilnya berjumpa dengan Jaballah dan berkata bahawa para sahabat tidak
mahu menggunakan wakil dan mahu berjumpa dengan raja sendiri. Kemudian kami
dibenarkan masuk untuk mengatakan apakah hajat kami iaitu menyeru kepada Islam.
Pelik
melihat keadaan Jaballah Hai’am bin Ghasani
yang memakai pakaian yang berwarna hitam maka para sahabat terus bertanya
kepadanya; “Mengapakah engkau Jaballah memakai pakaian ini, adakah terdapat
upacara perkabungan kerana kematian?” Sebagai gabenor yang mengetuai kerajaan
Syam ketika itu, pastilah mereka akan memakai pakaian diraja yang mahal dan
mewah. Jaballah yang sememangnya tidak mengenali para sahabat berkata; “Aku
bersumpah demi Allah aku tidak akan menanggalkan pakaian ini sehingga aku
menghalau kamu semua keluar dari bumi Syam. Sekiranya kamu memerangi aku, aku
akan perangi kamu habis habisan sehingga kamu semua mati kemudian barulah aku
akan tanggalkan baju ini”.
Kata
kata Jaballah itu disambut oleh Hisyam dengan berkata “Kamu hendak menghalau
kami? Tahukah kamu, demi Allah, singgahsana kamu, istana kamu bahkan kerajaan
kamu yang besar ini kami akan rampas, kerana perkara ini telah dijanjikan oleh
Rasulullah saw”. Laung Hisyam dengan lantang mengambarkan betapa yakinnya
mereka dengan janji Rasulullah saw.
Terkejutlah
Jaballah dan menambah “Aku tahu akan datang satu bangsa yang akan merampas
kerajaan Rome ini, tatapi bukan kemu kerana disebutkan bahawa kerajaan ini akan
dikuasai oleh mereka yang rajin berpuasa dan selalu berqiamulail”. Dijawab pula
oleh Hisyam bin Al Ash Humawi dengan yakin; “Kamilah bangsa itu, yang akan
merampas seluruh kerajaan Rome ini”.
Bertambah
terkejut Jaballah mendengar kata kata sahabat itu lalu ditanya “Jika begitu terangkan
bagaimanakah cara kamu berpuasa dan berqiamulail”? Lalu diterangkan oleh Hisyam
bagaimana cara seluruh umat Islam sembahyang dan berpuasa dan berkata “Pada
siang hari kami akan berjihad di jalan Allah dan di malam hari kami akan
beribadat kepada Allah”. Maka pucat lesilah muka Jaballah mendengar kata kata Hisyam
bin Al Ash Humawi kerana terdapat ramalan dalam Taurat dan Injil tentang
perkara ini, maka mereka pun dibenarkan untuk meneruskan perjalanan untuk
menemui Raja Rome Hercules.
Jaballah
telah menghantar berita kepada Raja Rome tentang kedatangan para sahabat dan
ditemani seorang wakil yang diutuskan untuk menemani para sahabat sepanjang
perjalanan, sebelum berangkat wakil Jaballah berkata “Sesungguhnya kenderaan
kamu ini tidak sesuai untuk meneruskan perjalanan hingga ke Rome untuk menemui
raja kami, mahukah kamu sekiranya kami gantikan dengan kenderaan yang lebih
baik dari kenderaan kamu ini”? Dijawab oleh para sahabat “Demi Allah, kami
tidak akan meneruskan perjalanan melainkan dengan kenderaan kami sendiri, dan
kami tidak perlukan kenderaan kamu”. Berangkatlah para sahabat untuk menemui
Raja Rome untuk menyeru kepada Islam.
Maka
sampailah para sahabat di hadapan istana Raja Rome, setelah para sahabat sampai
di pintu masuk istana Raja Rome dan terlihat oleh mereka akan Raja Hercules itu
di dalam sebuah bilik, maka bertakbirlah para sahabat menyebut “Lailaha illah,
Allahu akbar” serentak itu bergegarlah seluruh istana seperti setandan tamar
ditiup angin yang kuat. Melihat kepada singgahsananya yang bergegar terkejutlah
Raja Rome, bimbang akan istananya yang bergegar, lalu Raja Rome menghantar
seorang wakil kepada para sahabat dan berkata; “Disini kita tidak dibenarkan
untuk bertakbir dan dilarang untuk menzahirkan agama kamu”. Kemudian mereka
dibenarkan masuk dan berjumpa Raja Rome yang duduk di atas singgahsana sambil dikelilingi
oleh para menteri dan juga pengawal.
Keseluruhan
bilik dan singgahsana baginda berwarna merah, bahkan pakaian baginda juga
berwarna merah. “Kami menghampiri Raja Rome dan tiba tiba raja ketawa bagi
menutupi rasa takut dan cemasnya kepada para sahabat sambil berkata melalui
seorang jurucakap”; “Ucapkanlah ucapan kehormatan kamu kepada beta seperti mana
ucapan kerhormatan kamu terhadap raja kamu”. Ucapannya disambut oleh sahabat
dan berkata; “Ucapan kehormatan yang kami gunakan sesama kami tidak halal untuk
kamu, dan ucapan kehormatan kamu juga tidak halal untuk kami, maka janganlah
kamu mengucapkan ucapan penghormatan kamu kepada kami kerana ucapan kamu adalah
ucapan kufur dan ucapan kami adalah Islam”.
Hercules
bertanya lagi melalui jurucakapnya; “Jika begitu apakah ucapan yang kamu
gunakan sesama kamu dan apakah ucapan kemuliaan yang kamu gunakan untuk raja
kamu?” Sahabat menjawab “Assalamualaikum adalah ucapan yang kami gunakan sesama
kami dan juga kami gunakannya terhadap raja kami (Rasulullah saw). Raja
bertanya lagi, “Jika begitu, apakah balasan ucapan salam tersebut?” Sahabat
menambah bahawa “kami akan menjawabnya dengan ucapan Waalaikumusalam”.
Raja
yang semakin tertarik dengan penerangan para sahabat bertanya lagi; “Apakah
kalimat yang paling hebat antara kamu”? Kami menjawab “Lailaha Ilallah, Wallahu
Akbar, itulah kalimah yang paling hebat”, ketika itu bergegarlah seluruh istana
Raja Rome, seluruh istana terperanjat termasuk raja itu dan para sahabat
sendiri. Raja bertanya lagi “Adakah seluruh rumah kamu akan bergegar sekiranya
kamu mengucapkan perkataan ini” Dijawab oleh sahabat “Tidak, tidak pernah
sekali pun rumah rumah kami bergegar sekiranya kami mengucapkan perkataan ini
kecuali di hadapan engkau”. Bertambah peliklah raja dan berkata “Aku suka
sekiranya kamu menyebutkan kalimah ini di dalam rumah kamu dan rumah kamu
bergegar seperti ini, maka akan aku berikan separuh kerajaan aku kepada kamu.
Setelah
agak lama barulah Raja Rome itu bertanya apakah tujuan mereka datang berjumpa dengannya
dan dijawab oleh para sahabat bahawa kedatangan mereka ke sana adalah untuk
menyeru raja tersebut kepada Islam. Raja yang telah diberitakan oleh Jaballah
tentang kedatangan para sahabat bertanya sekali lagi untuk kepastian. “Bagaimanakah
cara kamu berpuasa dan bagaimanakah cara kamu beribadat”? Maka diterangkan
bagaimana caranya sebagai seorang Muslim itu sembahyang dan berpuasa serta
menyembah Allah yang Esa. Setelah berpuas hati dengan penjelasan para sahabat
mengenai Islam, dan sebelum majlis bersurai berkatalah raja kepada para sahabat;
“Sebagai penghormatan kepada kamu semua, malam ini tidurlah di istana aku,
kerana aku ada sesuatu yang hendak ditunjukkan kepada kamu semua”. Maka tinggallah
para sahabat di istana Raja Rome dan menjadi
tetamu diraja selama 3 hari.
Pada
satu malam para sahabat dibawa berjalan jalan sekitar istana dan kemudian
dibawa ke satu rumah yang besar dan mempunyai banyak bilik di dalamnya. Raja
menunjukkan satu benda berbentuk empat segi yang sangat besar dan disaluti
dengan emas, setiapnya ada beberapa pintu pintu yang kecil. Kemudian dibuka
pintu yang pertama. Dikeluarkan daripadanya sehelai sutera yang lebar berwarna
hitam, dibentangkan sutera tersebut dan terdapat sebuah gambar berwarna merah. Terdapat
gambar seorang lelaki yang tampan, bermata besar, punggungnya besar, lehernya
amat panjang, tidak mempunyai janggut dan mempunyai tocang dikepalanya. Raja
tersebut bertanya kepada para sahabat “adakah kamu kenal siapakah lelaki ini?
Para sahabat menjawab: “Tidak kami tidak kenal dan kami juga tidak pernah
berjumpa dengannanya”. Raja itu berkata: “Inilah wajah Nabi Adam as”. Ditutup
sutera tersebut dan disimpan semula ditempatnya.
Lalu
dibuka pintu yang ke 2, dikeluarkan sebuah sutera yang berwarna hitam yang
lebar dan terdapat gambar seorang lelaki yang putih kulitnya, rambutnya
kerinting, matanya agak kemerah merahan, badannya besar, janggutnya cantik dan
raja bertanya kepada kami; “Kamu tahukah gambar siapa ini? Sekali lagi kami
menjawab; “Tidak, kami tidak kenal siapa ini. Dijawab oleh raja tersebut;
“Inilah Nabi Nuh as”. Gambar tersebut digulung dan disimpan semula ditempatnya.
Dibuka
pula pintu yang ke-3 dan seperti tadi beliau mengeluarkan sehelai sutera yang
lebar dan berwarna hitam, lalu kami melihat gambar seorang lelaki yang
tersangat putih kulitnya, cantik matanya, luas dan licin dahinya, panjang
pipinya, putih janggutnya. Rupanya seperti sedang tersenyum. Raja bertanya lagi
kepada kami. Adakah kami kenal lelaki dia dalam gambar tersebut, seperti tadi
kami menjawab bahawa kami tidak mengenai lelaki yang terdapat di dalam gambar
tersebut. Maka raja pon berkata; “Inilah dia wajah Nabi Ibrahim as, digulung
gambar tersebut dan disimpan semula di dalam peti tersebut.
Kemudian
Raja Rome membuka pula pintu yang ke-4 dan dikeluarkan sehelai sutera yang
lebar seperti sebelum ini, tetapi kali ini ianya berwarna putih, apabila dibentangkan
kepada kami sutera tersebut, serta merta kami mengenali akan wajah di dalam
gambar tersebut. Kemudian Raja Hercules bertanya kepada kami samaada kami
mengenali akan pemilik gambar tersebut. Kami menjawab; “ Ya, sudah pasti kami
mengenali pemilik gambar ini kerana beliau adalah Muhammad saw”. Raja bertanya
lagi kepada kami untuk kepastian; “Adakah kamu pasti ini adalah Nabi yang
terakhir, benarkah ini rupanya? Kami menegaskan; “Ya, kami amat pasti dan kami
amat mengenali lelaki di dalam gambar ini, kerana dia adalah Muhammad saw, Rasul
kami, Nabi kami dan dengannyalah kami beriman, rupanya dan wajahnya di dalam
gambar ini saling tidak tumpah dengan rupanya yang sebenar”.
Kami
semua menangis kerana teramat rindu kepada Rasulullah dan setiap kami mencium
gambar tersebut. Apabila kami menangis, maka raja pon menangis, beliau menangis
sambil berdiri dengan agak lama dan setelah itu baru beliau duduk semula.
Kemudian beliau berkata; “Sepatutnya aku mengeluarkan gambar ini yang paling
akhir untuk aku tunjukkan kepada kamu, tetapi sengaja aku keluarkan awal awal
untuk melihat samaada kamu berkata benar atau tidak. Sekiranya kamu menipu
sudah pasti kamu akan mengatakan bahawa ini adalah nama nabi nabi yang lain
supaya boleh mengetahui bahawa kamu kenal atau tidak nabi akhir zaman”.
Dibuka
pintu yang ke-5, dikeluarkan sehelai sutera yan berwarna hitam, terdapat gambar
seorang lelaki yang mempunyai kulit sedikit kehitaman, rambutnya kerinting,
matanya cengkung ke dalam, pendangannya amat tajam, masam mukanya, cantik
susunan giginya dan raja bertanya; “Tahukan kamu siapa ini”? Kami menjawab
bahawa kami tidak mengenali lelaki di dalam gambar tersebut dan raja menyambung
“Inilah dia Nabi Allah Musa as dan ditepi gambar tersebut terdapat gambar
seorang lelaki yang mukanya mirip Nabi Musa as dan mukanya tidaklah segarang
muka Nabi Musa as dan sekali lagi raja bertanya kepada kami adakah kami
mengenali pemuda tersebut, seperti tadi kami juga menjawab bahawa kami tidak
mengenali pemuda di dalam gambar tersebut. Beliau berkata; “inilah wajah abang
kepada Nabi Musa as iaitu Harun Bin Imran as. Gambar tersebut kemudian digulung
dan diletakkan semula di tempat asal.
Maka
dibuka pintu yang ke-6, dibentangkan sutera yang lebar dan berwarna hitam, terdapat
gambar seorang lelaki berkulit sawa matang, sederhana tinggi dan kelihatan
marah, lalu raja bertanya kepada kami “Adakah kamu mengenali lelaki ini”? Kami
menjawab “Tidak, kami tidak mengenali siapakah lelaki ini” raja pon berkata;
“Ini adalah Nabi Luth as. Digulung gambar tersebut dan disimpan semula di dalam
peti.
Kemudian
dibuka pula pintu yang ke-7, seperti sebelumnya dihamparkan sehelai sutera yang
lebar dan berwarna hitam, kali ini terdapat gambar seorang lelaki yang berkulit
putih kemerah merahan, nipis jambangnya, mancung hidungnya, tampan rupanya dan
sekali lagi raja bertanya kepada kami; “Kenalkah kamu semua akan gambar
siapakah ini? Inilah dia Nabi Ishak as”. Digulung gambar tersebut dan
diletakkan di tempat asal.
Dibuka
pula pintu yang ke-8, terdapat gambar seorang lelaki yang seiras muka Nabi
Ishak as, tetapi bibirnya ada sedikit sumbing. Raja juga bertanya kepada kami
adakah kami mengenali lelaki dia dalam gambar tersebut, kami berkata: “Tidak,
kami tidak mengenali lelaki dia dalam gambar ini”. Raja menyambung dan berkata;
“Inilah dia Nabi Allah Yaakub as, maka gambar itu juga digulung dan disimpan
semula di tempatnya.
Dikeluarkan
gambar yang ke-9, terdapat gambar seorang lelaki yang berkulit putih kemerah
merahan, hidungnya mancung, tinggi orangnya, mukanya bercahaya, mukanya
kelihatan tenang dan kusyuk, maka raja bertanya lagi kepada kami; “Adakah kamu
mengenali lelaki ini?” Seperti sebelum ini, kami berkata bahawa kami tidak
pernah berjumpa dengannya dan tidak pernah mengenali lelaki tersebut,
berkatalah raja kepada kami; “Ini adalah moyang kepada nabi kamu iaitu Nabi
Ismail as, digulung gambar itu dan disimpan semula di dalam peti.
Raja
membuka pula pintu yang ke-10, terdapat gambar seorang lelaki yang rupanya
mirip Nabi Adam as, mukanya amat bercahaya dan menyilaukan mata seperti
memandang matahari, lalu raja itu bertanya kepada kami; “Adakah kamu mengenali
lelaki di dalam gambar ini?” “Tidak, kami tidak mengenali lelaki ini”. Maka
raja pun berkata; “Inilah dia Nabi Yusof as. Maka benarlah diberitakan bahawa
ketampanan Nabi Yusuf itu seperti matahari yang bersinar dan menyilaukan mata
sesiapa yang memandang sehingga menimbulkan fitnah, tetapi ketampanan
Rasulullah saw itu bak bulan purnama yang cantik dan berseri.
Maka
dibuka pula pintu yang ke-11, dikeluarkan sebuah gambar seorag lelaki yang
berkulit putik kemerahan, mempunyai betis yang kecil, agak besar perutnya,
tingginya sederhana dan dalam keadaan membawa pedang. Seperti kebiasaan, raja
akan bertanya kepada kami samaada kami mengenali lelaki yang ditunjukkan dia
dalam gambar, dan kami juga mengatakan bahawa kami tidak mengenali lelaki
tersebut, lalu raja itu berkata; “Inilah dia Nabi Daud as.
Setelah
itu dibuka pula pintu yang ke-12, seperti biasa dubuka gulungan sutera yang
lebar dan berwarna hitam, di dalamnya terdapat gambar seorang lelaki yang besar
punggungnya, panjang kakinya dan sedang menunggang kuda. Raja bertanya kepada
kami seperti tadi adakah kami mengenali lelaki tersebut, dan kami menjawab;
“Tidak, kami tidak kenal lelaki ini”. Raja pun berkata; “Inilah dia Sulaiman
bin Daud as.
Kemudian
dibuka pula sebuah lagi peti, seorang lelaki yang amat muda, mempunyai janggut
yang hitam dan lebat, mempunyai sepasang mata yang cantik, rupanya tampan dan
raja bertanya lagi kepada kami; “Tahukah kamu gambar siapakah ini?” “Tidak,
kami tidak mengenali lelaki di dalam gambar ini” kata kami. Lalu raja berkata;
“Inilah dia Nabi Allah Isa bin Maryam. Digulung gambar tersebut, lalu disimpan
kesemuanya dia dalam peti semula.
Kami
yang pelik dengan kesemua gambar tersebut bertanya kepada Raj Rome; “Dari mana
kamu mendapat kesemua gambar gambar ini, setahu kami tidak pernah wujud gambar
para nabi dan rasul tetapi gambar Muhammad saw, nabi kami, ya betul benar
gambar itu, sememangnya wajahnya amat sama dengan beliau’. Maka berkatalah raja
“Sesungguhnya di zaman dahulu kala, Nabi Adam as pernah bertanya kepada Allah
swt dan meminta supaya ditunjukkan bagaimana rupa para nabi dan rasul dari
kalangan zuriatnya. Nabi Adam as bertanya mengapakah diantara kesemua zuriat
keturunannya itu ada yang bersinar dan bercahaya dan diberitahu bahawa itu
adalah zuriat keturunannya yang merupakan para Nabi dan Rasul tersebut. Nabi
Adam as amat gembira dan berkata “Ya Allah, aku suka kepadanya, maka aku hadiahkan
umurku kepadanya, kerana itulah ada antara para Nabi dan Rasul mempunyai umur
yang panjang.
Lalu
Allah swt telah menurunkan seluruh gambar para nabi dan rasul dan diletakkan
pada satu peti yang dimiliki oleh Nabi Adam as dan ditanam di sebuah tempat diantara
Maghribi dan syam tempat terbenamnya matahari. Maka datanglah Zulkarnain
mengeluarkan peti tersebut daripada tempat tenggelamnya matahari dan diserahkan
kepada Nabi Daniel as.
Setelah
itu berkatalah Raja Rome kepada kami “Demi Allah, aku hendak mengikut agama
kamu, tetapi bagimanapun aku adalah hamba, dan aku tidak berhak untuk mengacau
kerajaan kamu yang besar (Allah swt). Kerana aku adalah hamba, maka aku tidak
mampu untuk berbuat apa apa pada kerajaan kamu.
Raja
Hercules telah mengucapkan terima kasih kepada kami dan menghadiahkan kami
pelbagai hadiah yang mahal, lalu kami pulang ke Madinah al Munawarrah dan
setelah sampai, kami mencerikan peristiwa ini kepada Abu Bakar as Siddiq.
Menangisah Abu Bakar ra dan berkata “Sungguh kasihan raja itu, sekiranya Allah
swt hendak mencampakkan hidayah kepadanya, nescaya dia akan mendapat petunjuk. Abu
Bakar as Siddiq menyokong cerita ini dan berkata; “Rasulullah saw bercerita
kepada kami, sesunguhnya orang orang Yahudi dan Nasrani amat mengetahui secara
terperinci akan sifat sifat Nabi Muhammad saw yang ada si sisi mereka, tetapi
kerana mengejar keuntungan dunia yang sedikit, maka mereka mendustakannya.
Diceritakan
oleh Al Hafiz Al Kabir Abi Bakar Imam Al Baihaqi di dalam kitabnya DalaaIlun
Nubuwah.
Daripada
kuliyah Ustaz Nazmi Karim-Kisah Sahabat Berjumpa Dengan Raja Rome
No comments:
Post a Comment