Sunday, 27 December 2015

Tauhid Seorang Budak

Dari Shuib ra. Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Pada zaman dahulu ada seorang Raja yang mempunyai seorang tukang sihir yang sudah lanjut usia”. Beliau berkata kepada rajanya: “Sesungguhnya sekarang saya sudah tua, oleh itu perkenankanlah supaya tuan mencarikan seorang budak untuk saya, dimana saya boleh mengajarkan ilmu sihir kepadanya”. Lalu raja itu memperkenankan permintaan ahli sihir tersebut dan mencari seorang budak untuk diajarkan ilmu sihir. Maka belajarlah budak itu dengan ahli sihir tersebut.

Pada suatu hari semasa dalam perjalanan ke tempat ahli sihir, di tengah perjalanan, budak itu bertemu dengan seorang pendeta yang merupakan satu satunya manusia yang beriman dan mengEsakan Allah swt di negeri tersebut, budak itu telah berhenti untuk mendengarkan ajaran sang pendeta yang menyebabkan beliau lambat untuk mengikuti kelas tukang sihir.

Ketika beliau sampai ke tempat ahli sihir, maka dipukulnya budak itu kemudian beliau mengadukan tentang perkara itu kepada pendeta, lalu pendeta itu berkata: “Bila kamu takut kepada tukang sihir itu, maka katakanlah bahawa keluargamu menahanmu, dan bila kamu takut kepada keluargamu, katakanlah bahawa tukang sihir itu menahanmu”. Maka bergurulahlah akan budak itu dengan sang pendeta dan juga si tukang sihir.

Pada suatu hari ketika berjalan jalan di tengah bandar terdapat seekor binatang yang amat besar dan berbulu lebat, lebatnya bulu binatang tersebut sehingga tidak menampakkan bahagian mukanya atau belakangnya, bintang itu menghalang laluan bandar tersebut sehingga menjadikan orang lalu lalang berhenti kerana takut untuk melintasi binatang tersebut.

Apabila melihat akan bintang itu terlintaslah di fikiran beliau dan berkata; “Hari ini aku akan mengetahui tukang sihirkah yang lebih utama (benar) ataukah pendeta” Lalu diambilnya seketul batu dan berkata “Ya Allah, jika ajaran pendeta itu lebih Kau sukai, maka matikanlah binatang itu supaya orang dapat melintas”. Kemudian budak tersebut melemparkan batu ke arah binatang tersebut, maka matilah binatang itu. Dengan sekelip mata budak itu menjadi terkenal kerana kehebatannya membunuh bintang besar tersebut dan orang ramai boleh melintasi jalan tersebut seperti sedia kala.

Beliau pergi menemui sang pendeta dan menceritakan apa yang telah terjadi dan berkatalah sang pendeta: “Wahai anakku, kamu sekarang lebih hebat daripadaku kerana kamu telah menguasai segala apa yang ku ketahui, dan kamu nanti akan mendapat ujian yang besar, sekiranya kamu diuji janganlah kamu menyebut namaku”. Setelah itu budak tersebut dikurniakan oleh Allah swt kebolehan untuk menyembuhkan buta, sopak dan pelbagai penyakit yang lain.

Terdengarlah berita bahawa salah seorang menteri sang raja sakit mata hingga buta dan telah berusaha berubat di serata tempat tetapi masih belum sembuh. Kemudian datanglah ia kepada budak itu dan membawa pelbagai jenis hadiah dan berkata: “Adakah kamu dapat menyembuhkan saya?” Budak itu menjawab: “Sesungguhnya aku tidak mampu untuk menyembuhkan penyakit seseorang, yang menyembuhkan adalah Allah SWT. Bila engkau beriman kepada Allah SWT, nescaya saya akan berdoa kepada Allah untuk menyembuhkan penyakitmu ini”. Maka berimanlah menteri itu kepada Allah SWT dan disembuhkan penyakitnya.

Datanglah menteri itu ke istana sebagaiman biasa duduk bersama raja dan raja bertanya kepadanya: “Siapakah yang menyembuhkan penyakitmu?” Beliau menjawab: “Tuhanku”. Sang raja berkata kepada menteri tersebut: “Apakah kamu mempunyai tuhan selain aku?” Menteri itu menjawab: “Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah”. Lalu murkalah raja dan disiksanya menteri tersebut sehingga beliau menyebutkan tentang budak yang menyembuhkan matanya yang buta itu.

Dipanggil budak itu disuruh mengadap dan berkatalah sang raja: “Wahai anakku, sihirmu amat ampuh (sebagimana yang raja itu tahu beliau berguru dengan tukang sihir) hingga dapat menyembuhkan buta dan penyakit sopak serta dapat berbuat itu dan ini”. Budak itu menjawab: “Sesungguhnya yang boleh menyembuhkan penyakit adalah Allah SWT.

Disiksalah budak itu sehingga beliau tidak tahan dan terlupa akan janjinya untuk tidak menyebut tentang sang pendeta, maka dipanggil sang pendeta mengadap sang raja yang zalim, sekalipun budak itu telah memungkiri janjinya, sang pendeta itu tidak marah dan tetap bersabar.

Raja itu berkata kepada pendeta tersebut; “Kembalilah kamu kepada agamamu semula”, tetapi pendeta itu tidak mahu, kemudian raja itu menyuruh disediakan gergaji dan diletakkan gergaji itu dia atas kepala dan pendeta itu digergaji dari kepala hingga badannya terbelah dua. Kemudian dipanggillah sang menterinya yang buta dan diminta untuk kembali semula kepada agama sebelumnya, tetapi sebagaimana pendeta, menteri tersebut juga enggan, lalu beliau juga menerima nasib yang sama dengan pendeta digergaji hingga badannya terbelah dua.

Kemudian sang raja memanggil budak tersebut dan dikatakan kepadanya; “Kembalilah kepada agamamu semula”, tetapi budak itu tetap enggan dan kemudian diserahkan kepada satu pasukan untuk membawanya ke satu gunung, bila sudah sampai di puncak gunung itu, sekali lagi budak itu dipaksa untuk kembali kepada agama asalnya, namun budak itu berdoa kepada Allah SWT: “Wahai Allah, hindarkan aku dari kejahatan mereka sesuai dengan apa yang Engkau kehendaki”. Maka bergegarlah gunung itu dengan kuat hingga seluruh pasukan itu jatuh ke bawah gaung lalu mati.

Kembalilah budak itu semula kepada raja yang zalim itu, lantas ditanya: “Apa yang telah diperbuat oleh pasukan itu?” Budak itu menjawab: “Allah swt telah menghindarkan aku dari kejahatan mereka”. Setelah itu raja sekali lagi menyerahkan budak itu kepada satu pasukan dan disuruh untuk membawa budak itu ke tengah lautan, sekiranya budak itu menolak untuk kembali semula kepada agama asal, maka lemparkanlah ia ke dalam lautan. Seperti pasukan sebelumnya yang membawa budak itu ke gunung budak itu berdoa: “Wahai Allah, hindarkanlah aku dari kejahatan mereka sesuai dengan apa yang Engkau kehendaki”. Kemudian terbaliklah kapal tersebut dan tenggelamlah seluruh pasukan itu di lautan yang luas.

Maka pulanglah budak itu semula kepada sang raja dan raja bertanya apa yang pasukannya telah lakukan sehingga budak itu dapat kembali semula, maka dijawab oleh budak itu: “Allah swt telah menghindarkan aku daripada kejahatan mereka”. Kemudian budak itu menambah; “Sesungguhnya, engkau tidak akan dapat mematikan aku sebelum engkau memenuhi permintaanku” Lalu raja berkata: “Apakah permintaanmu itu?” Budak itu menjawab: “Engkau harus mengumpulkan orang ramai di negara ini di kawasan lapang dan gantunglah aku di atas sebuah tiang, ambillah anak panahku dari tempatnya serta letakkanlah pada busurnya dan hendaklah dibacakan “Bismillahi Rabbil ghulam” (dengan menyebut nama Allah swt, Tuhan budak ini) lantas lepaskanlah anak panak itu kepadaku”. “Apabila engkau berbuat seperti itu, engkau akan berhasil membunuhku”, kata budak itu kepada raja yang amat zalim tersebut.

Maka raja yang zalim itu pun mengumpulkan orang ramai dia kawasan lapang dan digantung budak itu pada tiang sepertimana yang disuruh oleh budak itu. Semua orang ramai yang menghadiri upacara tersebut amat terkejut kerana budak itu yang pernah membunuh binatang besar yang menghalang laluan mereka dahulu. Apakan daya, mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana takut akan kezaliman raja tersebut.

Sang raja pun mengambil busur dan anak panah dan menyebut lafaz “Bismilahi Rabbil ghulam” (dengan nama Allah swt, Tuhan budak ini) seperti yang diajarkan oleh budak tersebut, lalu dilepaskan anak panah itu tepat mengenai pelipis budak itu, budak itu pun sempat meletakkan tangan pada pelipisnya yang terkena panah tersebut maka syahidlah ia seperti sang pendeta dan juga menteri yang buta. Pada saat itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut berkata; “Kami beriman dengan Tuhan budak itu”

Apabila ramainya orang yang telah beriman, ada seseorang yang menyampaikan berita tentang berimannya orang ramai kerana budak tersebut kepada raja dan berkata: “Tahukah tuan, apa yang engkau khawatirkan telah menjadi kenyataan. Sesunguhnya, kekhawatiranmu itu sudak tidak ada gunanya kerena mereka semua sudah beriman”.

Teramat murkalah Sang Raja yang zalim itu, kemudian raja itu memerintahkan supaya digali sebuah parit yang besar pada setiap persimpangan jalan dan pada parit itu harus dinyalakan api, dan diperintahkan supaya sesiapa yang enggan kembali kepada agama asal perlulah dilemparkan ke dalam parit tersebut. Lalu ramailah orang ramai yang menjadi mangsa kekejaman raja tersebut. Ketika itu ada seorang ibu yang amat kasihan kepada bayinya enggan terjun ke dalam parit, tetapi berkatalah bayinya; “Wahai ibu, bersabarlah engkau, kerana sesungguhnya engkau berada dalam kebenaran yang nyata”. Lalu dengan penuh yakin ibu tersebut terjun ke dalam parit tersebut ramailah yang syahid kerana keimanan budak tersebut. Manakala di dalam tafsir Jalalayn mengatakan kesemua mereka telah dicabut nyawa sebelum jatuh ke dalam api agar tidak merasa akan azabnya api.

Setelah beberapa ratus tahun kemudian ketika Saidina Umar Al Khattab dan para sahabat yang lainnya menggali tanah mereka terjumpa sebuah kubur yang mempunyai jasad seorang budak yang masih utuh dan tangannya diletakkan di pelipisnya, apabila dibuka tangan budak itu, maka mengalirlah darah dari luka pelipisnya, maka Saidina Umar Al Khattab mengarahkan supaya kubur tersebut dikambus semula dan berkata kemungkinan jasad tersebut adalah kanak-kanak tersebut. Wallahualam


Riwayat Muslim (Kitab Riyadhus Solihin) m/s: 29-32

No comments:

Post a Comment